Persembahan "Live" Pitahati

Jerayawara

Menjelang 2014, Pitahati mula melangkah meluncurkan tur sendiri. Yang pertama iaitu tur Merapah Fonetik Tanah Semenanjung membawa Pitahati ke beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Di akhir 2015, jelajah bersendirian kedua digerakkan oleh Pitahati dengan nama Merantau Sang Nusa yang sekali lagi dibawa ke seluruh negara, kali ini sempena mempromosikan LP kedua iaitu Selamat Datang Ke Panggung Suara yang dijadualkan tiba pada tahun 2016. Tahun tersebut menyaksikan Pitahati mengorak semula langkah pemasaran muzik mereka dengan diadakan beberapa sesi intim bersama peminat di kedai-kedai rekod berhampiran dengan markas mereka di sekitar Lembah Klang.

Pementasan

Kualiti progresif dan psikedelik Pitahati bukan sahaja mempengaruhi penghasilan muzik dan kandungan senikata mereka, tetapi juga estetik mereka di arena musik "live" yang sedikit sebanyak telah mengorak reputasi mereka sebagai sebuah live band yang serius dan mengutamakan penjelajahan yang luas dan kerap. Kumpulan Pitahati meletakkan persiapan yang rapi serta penekanan terhadap kualiti dari segi teknikal (ekuipmen, lampu dan reka pentas) dan juga persembahan (kualiti bunyi dan visual) sebagai prioriti untuk konsert-konsert mereka.

Elemen Visual

Perancangan dan pemasangan persembahan langsung Pitahati sejak tahun 2015 menampakkan perkembangan visi estetika mereka yang semakin terealisasi. Penggunaan konsep-konsep terkini seperti projection mapping dan motion graphics ataupun grafik-grafik yang bergerak interaktif dengan muzik yang dimainkan secara langsung kini menjadi setup kebiasaan Pitahati.

Rasional pendekatan visual mereka selain menyampaikan bunyi mereka yang unik dengan sebaik mungkin dikatakan adalah untuk mengangkat "sebuah semangat Neo-Asia". Visi ini akhir sekali direalisasikan di siri persembahan yang bertempat di Esplanade Singapura.

Konsert-konsert individu sepanjang undangan mereka di Esplanade itu telah menyaksikan Pitahati mengadakan persempahan selama 180 minit setiap konsert, dibantu oleh Motioixo dan juga Sesi Seni yang pernah terlibat dengan konsert Yuna di Istana Budaya.

Sempena terbitnya album Selamat Datang Ke Panggung Suara pada Mac 2016, ikutan dari itu penampilan secara besar-besaran yang menampilkan persembahan khusus bahan baru dari Pitahati itu dibawa pula ke pentas Auditorium Muzium Negara pada bulan Mei.